Saturday, September 17, 2011

ISA mati roh dia pecah 2?

ISA dah mati tapi roh dia pecah jadi dua?

Kumpulan pro-ISA beranggapan pemansuhan ISA dan memperkenalkan undang-undang baru sebagai ganti satu petunjuk bahawa "roh ISA" untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman negara tidak terjejas.

Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) mengibaratkan langkah terbaru kerajaan itu sebagai proses penjenamaan semula dan bukan "melenyapkan produk" dari pasaran.

"Pemansuhan ISA ini bukan kejayaan GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) , tetapi GMI juga selepas ini perlu re-branding nama mereka mengikut aksara akta baru yang bakal diumumkan nanti," kata Penasihat Undang-undang Magaran Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengumumkan keputusan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Bagaimanapun, katanya, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Khairul Azam (kanan) mencadangkan dibentuk undang-undang baru dibentuk berdasarkan Akta Patriot yang digunapakai Amerika Syarikat.

Serangan pencegahan

"Elok ikut Akta Patriot di AS. Ia membenarkan pre-emptive strike (serangan pencegahan) jika ancaman dipercayai wujud.

"Akta Patriot membenarkan serangan pencegahan atas sasaran yang dipercayai boleh ancam keselamatan AS walaupun sasaran itu tidak berada di bumi AS," katanya.

Sebagai contoh, Khairul Azam berkata, menggunakan akta itu, anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) boleh datang ke negara lain untuk menyerang pihak yang menjadi ancaman kepada Rumah Putih.

Mengulas pengumuman Najib semalam, Magaran menyifatkannya "tindakan populis" pentadbiran perdana menteri.

Magaran sebelum ini mencuri tumpuan dengan menganjurkan perhimpunan menyokong ISA pada hari dan tempat yang sama dengan perhimpunan anjuran GMI.

Bagaimanapun, jumlah penyokonya yang hadir pada 1 Ogos dua tahun lalu di ibu negara jauh lebih kecil daripada pihak yang menentang ISA. Kedua-dua pihak gagal mendapat permit polis.

No comments:

Iklan Penaja